BANDAR MUADZAM SHAH, PAHANG
Tanggal 12 November 1977 bersamaan 01 Zulhijjah 1397 adalah detik yang paling bersejarah Wilayah Pahang Tenggara kerana termasyurlah Bukit Ridan atau Bandar 10 dengan nama barunya, Bandar Muadzam Shah.
Istiadat pemahsyuran nama Bandar Muadzam Shah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar telah menjadi satu upacara rasmi yang gilang gemilang dan menjadi ingatan yang berkekalan kepada seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.
‘Muadzam Shah’ merupakan gabungan perkataan Arab dan Parsi, yang bermaksud keagungan dan kebesaran raja-raja. Nama yang sungguh menarik dan luar biasa ini dipilih begitu rupa sebagai simbol untuk mengabadikan jasa-jasa Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah yang menjadi pemerintah seluruh jajahan Negeri Pahang Darul Makmur dari tahun 1933 hingga 1974.
Sultan Abu Bakar adalah seorang raja yang dikasihi seluruh rakyat negeri kerana sering mengambil berat dan prihatin akan nasib dan kehidupan sosio-ekonomi rakyat dan sering melawat dan mengambil berat mengenai kesusahan rakyat di kampung-kampung dan desa-desa. Dengan itu amatlah bersesuaian kawasan luar bandar yang mula diterokai di Wilayah Pahang Tenggara ini mengambil sempena nama Baginda.
Potensi yang dimiliki oleh Muadzam Shah untuk maju dan membangun dengan pesatnya amat nyata sekali. Kedudukannya di tengah-tengah Kawasan Wilayah Pahang Tenggara serta lokasi yang strategik di persimpangan jalanraya Tun Abdul Razak dan Jalan Ibam-Rompin, merupakan antara faktor potensi masa depan bandar ini. Jaraknya dari Bandar Kuantan ialah sejauh 106km, dan dari bandar Segamat, Johor ialah 96km melalui Jalanraya Tun Abdul Razak
SECALIT NOSTALGIA MUADZAM SHAH
Sekolah Kebangsaan Bukit Ridan, Muadzam Shah dari 1977
Perhentian Bas Dan Teksi Bandar Muadzam Shah
Persimpangan Jalanraya Tun Abdul Razak dan Jalan Ibam – Rompin
Jalan Sebelum wujudnya Traffic Light (simpang ke MRSM)
Pejabat Pos Bandar Muadzam Shah
Bangunan ‘Bazaar’ Bandar Muadzam Shah
Antara Ruang Niaga Yang Masih Kekal Hingga Kini
SUMBER : BUKU 25 TAHUN DARA
PI1M MUADZAM SHAH, PAHANG